Make your own free website on Tripod.com
Bentuk muka bumi hakisan ombak
 
             Hakisan ombak telah menyebabkan perubahan pada bentuk muka bumi di pinggir laut dan menghasilkan pandang darat pinggir laut  yang pelbagai rupa. Antara bentuk muka bumi di pinggir laut yang terbentuk ialah tanjung dan teluk, cenuram dan pelantar hakisan ombak, gua, gerbang laut, batu tunggul dan tunggul sisa, geo dan lohong ombak.
 

Tanjung dan teluk

            Tanjung dan teluk terjadi secara serentak. Tindakan ombak terhadap batuan yang tidak sama kerasnya di kawasan pinggir laut yang terdedah menyebabkan hakisan ombak yang tidak sama kadarnya. Ini jelas kelihatan bila batuan keras seperti granit dan batu kapur berselang-seli dengan batuan lembut seperti  pasir dan batu tanah liat. Batuan lembut akan terhakis dengan cepat lalu menjadi serokan, anak teluk atau teluk. Batuan keras pula kekal di tempatnya menjadi tanjung, atau tanjung tinggi.  Contoh-contoh yang baik terdapat di sepanjang pantai Dorest di selatan England, Teluk Swanage dan Tanjung Tinggi Durlston. Kawasan-kawasan yang terdiri daripada sejenis batuan pun masih mempunyai bentuk-bentuk pantai yang tidak sekata disebabkan oleh perbezaan-perbezaan dalam batuan itu sendiri. Oleh itu, Pulau Pinang yang terdiri daripada batu granit, mempunyai banyak teluk-teluk dan tanjung-tanjung. Kawasan teluk biasanya mempunyai air yang tenang kerana terlindung daripada tiupan angin kencang dan sesuai untuk dijadikan pelabuhan semulajadi.
            Teluk-teluk yang besar seperti Teluk Parsi atau Teluk Benggala, terbentuk oleh sebab-sebab lain seperti penenggelaman atau pergerakan bumi.
 

Cenuram dan pelantar hakisan ombak

Biasanya tebing batuan yang curam di pinggir pantai menjadi cenuram. Kadar pengundurannya bergantung kepada struktur geologi, iaitu perlapisan, rekahan serta daya tahannya menerima pukulan ombak. Jikalau lapisan-lapisannya condong curam ke arah laut, tebing-tebing tinggi yang terbina akan mempunyai bentuk bertangga-tangga yang dikenali sebagai teres pesisir dan jikalau lapisannya condong hala ke daratan, cenuram ini akan lebih tahan daripada dihakis oleh ombak. Di antara cenuram yang terkemuka ialah tebing tinggi batu kapur di Selat Inggeris. Ini termasuklah juga Tanjung Tinggi Beachy dan tingginya 150 meter, Seven Sisters dekat kuala Cuckmere dan Tebing Tinggi Putih di Dover.
Laut akan membentuk satu takikan (notch) di kaki cenuram. Takikan ini akan menjadi lebih besar hingga cenuram itu akhirnya runtuh. Semasa cenuram itu mengundur ke darat maka terbentuklah satu dasar  yang terhakis, yang dinamakan pelantar hakisan ombak. Bahagian yang berhampiran dengan daratan akan terdedah pada masa air surut dan pelantar ini bercerun landai menuju laut. Puin-puin batuan dari cenuram yang mengundur itu berselerak di permukaannya. Hakisan lelasan terus berlaku hingga batuan kelikir itu hanyut ke laut. Bahan-bahan terhakis itu kemudiannya dimendapkan di teres-teres pinggir pantai. Apabila pelantar hakisan itu menjadi lebih luas, umpamanya 48 km  bagi pelantar hakisan ombak Strandflat di pinggir Norway Barat, maka seluruh permukaannya diliputi oleh air. Ini menyebabkan hakisan yang selanjutnya terhadap cenuram tidak begitu berkesan.
 

Gua, gerbang laut, batu tunggul dan tunggul sisa

          Hakisan ombak di kaki cenuram yang terus-menerus berlaku akan mengorek lubang di bahagian-bahagian yang lembut. Lubang yang besar terbentuk di cenuram dan di tebing tanjung ini dinamakan gua. Contoh gua yang terjadi akibat daripada tindakan hihraul ini ialah gua-gua di Pulau Langkawi dan di Elamborough Head, England. Apabila terdapat dua buah gua berdekatan dan sebelah menyebelah pada sebuah tanjung dan gua-gua tersebut bertemu dan bercantum  maka terbentuklah sebuah gerbang laut. Contohnya, Neddle Eye dekat Wick di Scotland dan Batu Berkaki Tiga di Sabah. Hakisan ombak yang selanjutnya akan meruntuhkan gerbang laut itu. Bahagian tanjung arah ke laut menjadi tiang batu yang dinamakan batu tunggul. Satu contoh batu tunggul yang terbaik ialah "The Old Man of Hoy" di Orkneys. Batu ini ialah batu pasir tua yang berwarna merah, tingginya 137 meter. Contoh lain yang terkenal juga ialah batu tunggul Needles di Isle of wight. "The Needles" ini merupakan sekumpulan batu-batu tunggul yang terdiri daripada batu kapur dan saiznya semakin mengecil arah ke laut. Lama-kelamaan batu-batu tunggul ini akan terhakis juga. Batu-batu tunggul yang tegak ini akan terhakis menjadi tunggul-tunggul sisa yang sedikit sahaja kelihatan di atas aras air laut. Contohnya, kumpulan St. Kilda, yang berhampiran dengan Outer Hebrides di Scotland.
 

Geo dan lohong ombak

            Walaupun gua telah terbentuk, hakisan ombak yang sekali-sekala memukul bumbung gua cenuram boleh membesarkan rekahan-rekahan yang terdapat di dalamnya disebabkan oleh mampatan udara di dalamnya. Sebuah lohong akan terbentuk dan akhirnya akan tembus ke permukaan bumi di bahagian darat. Ombak memukul masuk ke gua-gua ini akan memaksa air atau recikan-recikan air ataupun hanya udara sahaja keluar dari lubang itu . Lubang-lubang serupa ini dinamakan lohong ombak atau gloup (nama yang didasarkan kepada bunyi air dalam lubang-lubang tersebut). Satu contoh lohong ombak terdapat di Holborn Head di Caithness, Scotland.  Bila lohong-lohong ombak itu menjadi semakin bertambah besar dan ombak terus bertindak, maka hal ini akan melemahkan lagi bumbung gua itu. Bila bumbung gua itu runtuh sedikit demi sedikit maka satu serokan yang panjang dan sempit atau corok terbina di pantai tersebut. Serokan-serokan itu dinamakan geo dan adakalanya lebih dari 30 meter dalamnya dan panjangnya begitu juga. Contohnya ialah "Wife Geo" dekat dengan Duncansby Head di Scotland.

 

 [....MENU UTAMA....] [....TAMAT....]