Bentuk muka bumi hasil pemendapan di pinggir laut
 

            Seperti agen-agen penggondolan yang lain, ombak juga melakukan proses pemendapannya. Pemendapan ombak berlaku di kawasan pinggir laut yang terlindung. Biasanya di pinggir laut begini, halaju ombak berkurangan kerana angin yang bertiup adalah lemah. Keadaan sedemikian menyebabkan terjadinya ombak pembina. Ombak pembina membawa beban dan dimendapkan di pinggir laut kerana damparannya lebih kuat daripada basuhan balik.  Dengan itu, bentuk-bentuk muka bumi seperti pantai, tetanjung dan beting pasir terbentuk di pinggir laut.
 
 Pantai.

            Pantai merupakan satu bentuk muka bumi utama di pinggir laut. Pantai terbina hasil daripada pengangkutan dan pemendapan pasir dan batuan kelikir dari kawasan daratan dibawa oleh ombak dan ditimbunkannya di sepanjang pinggir laut. Inilah satu-satunya kegiatan pembentukan yang utama dilakukan oleh laut. Bahan-bahan yang terhakis itu dibawa ke sepanjang pantai melalui beberapa cara yang nyata. Hanyutan pesisir memanjang yang melanda pantai secara serong membawa partikal-partikal pasir itu di sepanjang pinggir pantai mengikut arah tiupan angin di kawasan itu. Di samping itu, kegiatan basuhan balik akan membawa sebahagian daripada bahan-bahan tersebut ke laut di sepanjang dasar laut itu. Bahan-bahan ini akan dimendapkan di atas teres-teres pinggir pantai atau lebih jauh lagi ke laut. Bahan-bahan yang lebih halus seperti kelodak dan lumpur dimendapkan di perairan cetek di bahagian pantai yang terlindung.
            Tindakan ombak yang berterusan dengan sendirinya mengasing-asingkan timbunan pinggir pantai mengikut peringkat-peringkatnya. Batuan yang lebih kasar (batu bundar dan batu tongkol) dilonggokkan oleh ombak di bahagian darat pantai. Bahan-bahan yang lebih halus pula (batu-batu kelikir dan biji-biji pasir) diseret olieh ombak dan dilonggokkan lebih hampir ke laut. Di kawasan tanah pamah yang rata, pantai mungkin terus menganjur hingga beberapa kilometer seperti yang terdapat di pantai timur Semenanjung Malaysia. Tetapi di kawasan-kawasan tanah tinggi di mana daratan menurun dengan tiba-tiba ke laut, seperti pantai di Chile, pantai-pantai yang panjang jarang terdapat.
 

 Anak tanjung dan betir pasir

             Semua puin yang dihakis oleh ombak dibawa terus-menerus oleh hanyutan sisir pantai. Bahan-bahan ini akan berterusan dimendapkan di kawasan-kawasan serokan di tepi pantai, seperti di kuala sungai atau teluk-teluk. Oleh kerana bahan-bahan ini semakin bertambah maka bahan-bahan ini akan bertimbun menjadi satu permatang atau benteng batu lada. Ini akan membentuk sebuah anak tanjung. Satu hujungan anak tanjung ini bercantum dengan daratan dan yang sebelah lagi menganjur ke laut.  Contohnya Tanjung Calshot di Southampton Water, England, atau anak-anak tanjung yang terdapat di sepanjang pantai Kelantan. Ombak yang menyerong akan melengkungkan bentuk anak tanjung itu menjadi anak tanjung taji atau anak tanjung berkeluk. Sekiranya permatang batu lada itu merentangi kuala sungai atau bahagian hadapan teluk, maka timbunan ini dinamakan beting pasir. Contohnya yang terkenal ialah Chesil Beach di Dorset, England, yang menganjur sejauh 26 km  lebih di sepanjang pantai itu. Beting itu menghubungkan Isle of Portland dengan tanah besarnya dan mengelilingi sebuah lagun yang bernama Fleet. Beting yang menghubungkan dua kawasan daratan lebih dikenal sebagai tombolo.
 

Kukup dan Paya Masin

            Kukup dan paya masin adalah hasil daripada pemendapan di kawasan lindung seperti di antara beting pasir dan daratan atau di muara sungai. Air pasang dan sungai membawa bahan-bahan enapan seperti lanar dan kelodak dan meinendapkannya di kawasan lindung tersebut apabila air surut. Pemendapan yang berterusan akan membentuk dataran lumpur yang dikenal sebagai kukup. Dalam jangka panjang, tumbuh-tumbuhan yang tahan air masin akan tumbuh subur di kawasan kukup ini dan membentuk paya masin. Contoh kukup dan paya masin dapat dilihat muara sungai Kelang dan di Teluk Morecambe, England. Di kawasan tropika, kukup akan menjadi paya bakau.

Bukit-bukit pasir laut dan kawasan bukit pasir.

            Dengan adanya tiupan angin ke daratan maka sebahagian besar dari pasir pantai diterbangkan ke darat. Kejadian ini akan membentuk bukit bukit pasir laut yang luas. Bukit-bukit ini akan membentuk kawasan-kawasan bukit pasir. Kemaraannya ke pedalaman mungkin akan menyebabkan ladang-ladang, jalan jalan raya, malahan seluruh kawasan perkampungan terkambus oleh bukit pasir ini. Bukit-bukit pasir Landes, di barat daya Perancis, meliputi kawasan yang seluas 15 600 km persegi dan puncaknya setinggi 40 meter. Puncak bukit-bukit pasir ini biasa terdapat di kawasan pantai Belgium, Denmark dan Belanda. Untuk menyekat kemaraan bukit-bukit pasir ini, rumput-rumput dan pokok-pokok kecil jenis yang boleh mencengkam pasir seperti rumput marram dan pokok pain telah ditanam di kawasan tersebut.
 

 

 [....MENU UTAMA....] [....TAMAT....]