Make your own free website on Tripod.com
 
 
 
 
BENTUK MUKA BUMI UTAMA   
 
1. GUNUNG 
2. DATARAN TINGGI 
3. TANAH PAMAH 
  
 GUNUNG

        Sebahagian besar permukaan bumi terdiri daripada gunung-gunung dan ia boleh dibahagi kepada empat jenis yang utama iaitu :

1. Gunung lipat - Gunung ini terjadi kerana pergerakan bumi secara besar-besaran apabila terdapat tekanan-tekanan yang kuat dalam kerak bumi menyebabkan batu batan termampat dan kawasan yang lemah akan berkedut atau berlipat. Perlipatan ini akan mengecilkan lagi kerak bumi dan menyebabkan permukaan bumi menjadi beralun-alun.

2. Gunung bongkah - Gunung ini terjadi apabila kerak bumi merekah dan gelinciran berlaku. Gelinciran mungkin disebabkan ketegangan atau mampatan iaitu dua kuasa yang memanjangkan atau memendekkan kerak bumi. Kuasa ini menyebabkan satu bahagian kerak bumi menurun atau meninggi dari aras sekitarnya.

3. Gunung berapi - Gunung ini terbentuk daripada bahan yang keluar melalui rekahan-rekahan di   kerak bumi. Bahan-bahan ini termasuklah lava yang cair, bara api, abu, debu dan lumpur cair.Bahan-bahan tersebut jatuh di sekeliling lohong gunung berapi itu dalam bentuk yang berlapis-lapis hingga membentuk kon gunung berapi.

4. Gunung sisa - Gunung jenis ini terjadi sebagai hasil daripada proses gondolan. Apabila aras bumi pada umumnya menjadi rendah oleh agen-agen gondolan, maka sesetengah kawasan yang kukuh akan terus kekal seperti biasa dan menjadi gunung sisa. Gunung sisa juga mungkin terjadi daripada dataran tinggi yang telah dikelar-kelar oleh sungai hingga menjadi bukit dan lembah.
 
 

DATARAN TINGGI
 
    Dataran tinggi adalah tanah tinggi yang terangkat dan yang mempunyai permukaan rata yang luas dan biasanya menurun dengan curam ke kawasan rendah di sekelilingnya. Berdasarkan asal pembentukkan dan sifat-sifat fizikalnya, dataran tinggi boleh dibahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu :

1. Dataran tinggi tektonik - Dataran tinggi ini terbentuk akibat daripada pergerakan bumi yang    menyebabkan berlakunya penimbulan. Biasanya dataran tinggi ini mempunyai saiz yang besar dan seragam tingginya. . Ini termasuklah bongkah-bongkah benua seperti Dataran Tinggi Deccan di India. Apabila dataran tinggi di kelilingi oleh gunung-gunung lipat, maka dataran tinggi itu dikenal sebagai dataran tinggi antara gunung.

2. Dataran tinggi gunung berapi - Dataran tinggi ini terbentuk akibat daripada lava cair melimpah keluar dari kerak bumi dan mengalir di permukaan bumi lalu membentuk beberapa lapisan yang dinamakan lava basol . Lava yang beku ini membentuk dataran lava .

3. Dataran tinggi berkelar-kelar - Dataran tinggi yang luas sedikit demi sedikit akan terhakis akibat dari proses luluhawa dan hakisan yang terus-menerus dilakukan oleh air yang mengalir, ais dan angin. Oleh yang demikian, permukaan dataran itu menjadi tidak sama rata. Di kawasan dataran tinggi yang beriklim lembab, sungai dan kadangkala glasier menyebabkan lurah-lurah yang dalam dan sempit terjadi, dataran tinggi yang mengalami kejadian seperti ini dinamakan dataran tinggi berkelar-kelar. Di negeri-negeri yang beriklim kering, hakisan menegak yang dilakukan oleh sungai dan geselan yang dilakukan oleh angin akan memecahkan dataran itu dan membentuk bongkah-bongkah seperti meja yang bertebing curam yang disebut mesa dan butte. Kawasan ini diselang-seli oleh kanyon yang dalam.
 

TANAH PAMAH
 
    Tanah Pamah atau dataran adalah merupakan kawasan tanah rendah yang rata atau beralun tetapi jarang melebihi beberapa ratus kilometer dari aras laut. Tanah pamah merupakan kawasan yang paling subur di sesebuah negara dan selalunya digunakan sebagai kawasan petempatan, pertanian dan perindusterian. Tanah pamah boleh dibahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu berdasarkan kepada asal kejadiannya :

1. Dataran bentuk bumi - Ia merupakan kawasan yang telah terlekuk dari segi bentuk muka buminya lalu menjadi kawasan dataran semula jadi yang paling luas di dunia. Dataran ini terbentuk daripada batu-batan yang mendatar dan boleh dikatakan tidak tersentuh oleh pergerakan kerak bumi.

2. Dataran mendap - Dataran jenis ini terbentuk daripada bahan-bahan mendapan yang dibawa oleh     berbagai-bagai anasir pengangkutan. Dataran ini boleh dikatakan rata tetapi semakin meninggi hala ke kawasan tanah tinggi. Kesuburan dan perkembangan ekonomi kawasan ini banyak bergantung kepada jenis-jenis mendapan yang terkumpul. Beberapa dataran mendap yang paling luas dibentuk oleh sungai-sungai yang besar. Hakisan yang pesat di bahagian hulunya menyebabkan sungai-sungai  itu banyak membawa lanar ke bahagian hilirnya. Lanar itu dimendapkan sehingga menjadi dataran lanar, dataran mendap dan dataran delta yang Iuas. Kawasan ini merupakan kawasan yang paling subur di dunia dan digunakan untuk pertanian secara giat. Penduduknya juga sangat padat.
        Glasier dan litupan ais juga dapat memendapkan lapisan pasir dan batu kelikir yang bercampur-aduk   lalu membentuk dataran lanar ais.  Glasier juga dapat menimbunkan lanar batu tongkol, iaitu campuran di antara batu-batu tongkol yang berbagai-bagai rupa dengan lanar lalu membentuk satu dataran lanar batu tongkol. Dataran lanar ais selalunya merupakan kawasan yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan tetapi lanar batu tongkol pula mungkin merupakan satu kawasan pertanian .
         Di kawasan pula pantai, ombak dan angin biasanya menyeret bahan-bahan pantai seperti lumpur,     pasir atau batu lada ke kawasan dataran pantai. Bahan-bahan ini dimendapkan di dataran pantai dan     terbentuklah paya masin, kukup, tanah pamah pasang surut dan tanah pamah muara. Penimbulan bumi     mungkin meninggikan sedikit kedudukan pinggir pantai dan membentuk dataran pantai timbul.
         Angin mungkin membawa butir-butir halus yang dinamakan loes. Bahan ini dibawa dari kawasan     gurun pedalaman atau kawasan tandus dan ditimbunkan di bukit-bukit, lembah-lembah atau di dataran-    dataran hingga membentuk dataran tinggi loes, seperti di barat laut negara China dan tanah pamah loes,    seperti di kawasan Pampas di Argentina. Tanah loes ini meratakan kawasan yang beralun dengan cara     menimbunkan kawasan-kawasan lurah dan lekukan. Kebanyakan kawasan yang diliputi oleh bahan loes    di dunia ini merupakan kawasan pertanian yang subur.
 
3. Dataran hakis - Dataran ini dibentuk oleh agen-agen hakisan. Hujan, sungai, ais dan angin dapat meratakan permukaan bumi yang tidak rata. Dalam jangka masa yang panjang iaitu berjuta juta tahun lamanya, gunung yang tinggi sekali pun akan diruntuhkan hingga menjadi satu dataran rendah yang beralun.   Dataran gondolan ini dinamakan peneplain yang hampir menyerupai dataran.
         Sungai yang mengalir dari hulu ke hilir akan memperdalam lembah dan melebarkan tebingnya.     Susuh-susuh bukit yang menganjur ke sungai akan terpenggal dan ini meluaskan lagi kawasan rata di tebing sungai itu hingga menjadi rendah. Di samping itu tanah tinggi yang terletak di antara sungai itu    lama-kelamaan akan menjadi rendah.
         Bagi kawasan yang telah mengalami tindakan glasier, dan litupan ais telah menggesel dan meratakan    muka bumi dan membentuk dataran hakis ais. Sekarang lekukan-lekukan yang dibentuk oleh glasier itu     telah menjadi tasik-tasik.  Di kawasan kontang dan hampir kontang, sebahagian besar daripada bahan     yang telah terhakis diterbangkan oleh layangan angin. Oleh kerana itu aras kawasan itu menjadi rendah lalu  membentuk dataran luas, umpamanya dataran kontang berbatu kelikir atau berbatu-batu yang disebut reg    di Afrika Luluhawa mekanikal di kawasan kontang dan hampir kontang telah meluruhkan cerun-cerun    yang tinggi hingga menjadi pediplain
 

 [....MENU UTAMA....] [....TAMAT....]