Tanjung dan teluk
Tanjung dan teluk terjadi secara serentak. Tindakan ombak terhadap
batuan yang tidak sama kerasnya di kawasan pinggir laut yang terdedah menyebabkan
hakisan ombak yang tidak sama kadarnya. Ini jelas kelihatan bila batuan
keras seperti granit dan batu kapur berselang-seli dengan batuan lembut
seperti pasir dan batu tanah liat. Batuan lembut akan terhakis dengan
cepat lalu menjadi serokan, anak teluk atau teluk. Batuan keras pula kekal
di tempatnya menjadi tanjung, atau tanjung tinggi. Contoh-contoh
yang baik terdapat di sepanjang pantai Dorest di selatan England, Teluk
Swanage dan Tanjung Tinggi Durlston. Kawasan-kawasan yang terdiri daripada
sejenis batuan pun masih mempunyai bentuk-bentuk pantai yang tidak sekata
disebabkan oleh perbezaan-perbezaan dalam batuan itu sendiri. Oleh itu,
Pulau Pinang yang terdiri daripada batu granit, mempunyai banyak teluk-teluk
dan tanjung-tanjung. Kawasan teluk biasanya mempunyai air yang tenang kerana
terlindung daripada tiupan angin kencang dan sesuai untuk dijadikan pelabuhan
semulajadi.
Teluk-teluk yang besar seperti Teluk Parsi atau Teluk Benggala, terbentuk
oleh sebab-sebab lain seperti penenggelaman atau pergerakan bumi.
Cenuram dan pelantar hakisan ombak
Biasanya tebing batuan yang curam di pinggir pantai menjadi cenuram.
Kadar pengundurannya bergantung kepada struktur geologi, iaitu perlapisan,
rekahan serta daya tahannya menerima pukulan ombak. Jikalau lapisan-lapisannya
condong curam ke arah laut, tebing-tebing tinggi yang terbina akan mempunyai
bentuk bertangga-tangga yang dikenali sebagai teres pesisir dan jikalau
lapisannya condong hala ke daratan, cenuram ini akan lebih tahan daripada
dihakis oleh ombak. Di antara cenuram yang terkemuka ialah tebing tinggi
batu kapur di Selat Inggeris. Ini termasuklah juga Tanjung Tinggi Beachy
dan tingginya 150 meter, Seven Sisters dekat kuala Cuckmere dan Tebing
Tinggi Putih di Dover.
Laut akan membentuk satu takikan (notch) di kaki cenuram. Takikan ini
akan menjadi lebih besar hingga cenuram itu akhirnya runtuh. Semasa cenuram
itu mengundur ke darat maka terbentuklah satu dasar yang terhakis,
yang dinamakan pelantar hakisan ombak. Bahagian yang berhampiran dengan
daratan akan terdedah pada masa air surut dan pelantar ini bercerun landai
menuju laut. Puin-puin batuan dari cenuram yang mengundur itu berselerak
di permukaannya. Hakisan lelasan terus berlaku hingga batuan kelikir itu
hanyut ke laut. Bahan-bahan terhakis itu kemudiannya dimendapkan di teres-teres
pinggir pantai. Apabila pelantar hakisan itu menjadi lebih luas, umpamanya
48 km bagi pelantar hakisan ombak Strandflat di pinggir Norway Barat,
maka seluruh permukaannya diliputi oleh air. Ini menyebabkan hakisan yang
selanjutnya terhadap cenuram tidak begitu berkesan.
Gua, gerbang laut, batu tunggul dan tunggul sisa
Hakisan ombak
di kaki cenuram yang terus-menerus berlaku akan mengorek lubang di bahagian-bahagian
yang lembut. Lubang yang besar terbentuk di cenuram dan di tebing tanjung
ini dinamakan gua. Contoh gua yang terjadi akibat daripada tindakan hihraul
ini ialah gua-gua di Pulau Langkawi dan di Elamborough Head, England. Apabila
terdapat dua buah gua berdekatan dan sebelah menyebelah pada sebuah tanjung
dan gua-gua tersebut bertemu dan bercantum maka terbentuklah sebuah
gerbang laut. Contohnya, Neddle Eye dekat Wick di Scotland dan Batu Berkaki
Tiga di Sabah. Hakisan ombak yang selanjutnya akan meruntuhkan gerbang
laut itu. Bahagian tanjung arah ke laut menjadi tiang batu yang dinamakan
batu tunggul. Satu contoh batu tunggul yang terbaik ialah "The Old Man
of Hoy" di Orkneys. Batu ini ialah batu pasir tua yang berwarna merah,
tingginya 137 meter. Contoh lain yang terkenal juga ialah batu tunggul
Needles di Isle of wight. "The Needles" ini merupakan sekumpulan batu-batu
tunggul yang terdiri daripada batu kapur dan saiznya semakin mengecil arah
ke laut. Lama-kelamaan batu-batu tunggul ini akan terhakis juga. Batu-batu
tunggul yang tegak ini akan terhakis menjadi tunggul-tunggul sisa yang
sedikit sahaja kelihatan di atas aras air laut. Contohnya, kumpulan St.
Kilda, yang berhampiran dengan Outer Hebrides di Scotland.
Geo dan lohong ombak
Walaupun gua telah terbentuk, hakisan ombak yang sekali-sekala memukul bumbung gua cenuram boleh membesarkan rekahan-rekahan yang terdapat di dalamnya disebabkan oleh mampatan udara di dalamnya. Sebuah lohong akan terbentuk dan akhirnya akan tembus ke permukaan bumi di bahagian darat. Ombak memukul masuk ke gua-gua ini akan memaksa air atau recikan-recikan air ataupun hanya udara sahaja keluar dari lubang itu . Lubang-lubang serupa ini dinamakan lohong ombak atau gloup (nama yang didasarkan kepada bunyi air dalam lubang-lubang tersebut). Satu contoh lohong ombak terdapat di Holborn Head di Caithness, Scotland. Bila lohong-lohong ombak itu menjadi semakin bertambah besar dan ombak terus bertindak, maka hal ini akan melemahkan lagi bumbung gua itu. Bila bumbung gua itu runtuh sedikit demi sedikit maka satu serokan yang panjang dan sempit atau corok terbina di pantai tersebut. Serokan-serokan itu dinamakan geo dan adakalanya lebih dari 30 meter dalamnya dan panjangnya begitu juga. Contohnya ialah "Wife Geo" dekat dengan Duncansby Head di Scotland.