Seperti
agen-agen penggondolan yang lain, ombak juga melakukan proses pemendapannya.
Pemendapan ombak berlaku di kawasan pinggir laut yang terlindung. Biasanya
di pinggir laut begini, halaju ombak berkurangan kerana angin yang bertiup
adalah lemah. Keadaan sedemikian menyebabkan terjadinya ombak pembina.
Ombak pembina membawa beban dan dimendapkan di pinggir laut kerana damparannya
lebih kuat daripada basuhan balik. Dengan itu, bentuk-bentuk muka
bumi seperti pantai, tetanjung dan beting pasir terbentuk di pinggir laut.
Pantai.
Pantai
merupakan satu bentuk muka bumi utama di pinggir laut. Pantai terbina hasil
daripada pengangkutan dan pemendapan pasir dan batuan kelikir dari kawasan
daratan dibawa oleh ombak dan ditimbunkannya di sepanjang pinggir laut.
Inilah satu-satunya kegiatan pembentukan yang utama dilakukan oleh laut.
Bahan-bahan yang terhakis itu dibawa ke sepanjang pantai melalui beberapa
cara yang nyata. Hanyutan pesisir memanjang yang melanda pantai secara
serong membawa partikal-partikal pasir itu di sepanjang pinggir pantai
mengikut arah tiupan angin di kawasan itu. Di samping itu, kegiatan basuhan
balik akan membawa sebahagian daripada bahan-bahan tersebut ke laut di
sepanjang dasar laut itu. Bahan-bahan ini akan dimendapkan di atas teres-teres
pinggir pantai atau lebih jauh lagi ke laut. Bahan-bahan yang lebih halus
seperti kelodak dan lumpur dimendapkan di perairan cetek di bahagian pantai
yang terlindung.
Tindakan ombak yang berterusan dengan sendirinya mengasing-asingkan timbunan
pinggir pantai mengikut peringkat-peringkatnya. Batuan yang lebih kasar
(batu bundar dan batu tongkol) dilonggokkan oleh ombak di bahagian darat
pantai. Bahan-bahan yang lebih halus pula (batu-batu kelikir dan biji-biji
pasir) diseret olieh ombak dan dilonggokkan lebih hampir ke laut. Di kawasan
tanah pamah yang rata, pantai mungkin terus menganjur hingga beberapa kilometer
seperti yang terdapat di pantai timur Semenanjung Malaysia. Tetapi di kawasan-kawasan
tanah tinggi di mana daratan menurun dengan tiba-tiba ke laut, seperti
pantai di Chile, pantai-pantai yang panjang jarang terdapat.
Anak tanjung dan betir pasir
Semua puin yang dihakis oleh ombak dibawa terus-menerus oleh hanyutan sisir
pantai. Bahan-bahan ini akan berterusan dimendapkan di kawasan-kawasan
serokan di tepi pantai, seperti di kuala sungai atau teluk-teluk. Oleh
kerana bahan-bahan ini semakin bertambah maka bahan-bahan ini akan bertimbun
menjadi satu permatang atau benteng batu lada. Ini akan membentuk sebuah
anak tanjung. Satu hujungan anak tanjung ini bercantum dengan daratan dan
yang sebelah lagi menganjur ke laut. Contohnya Tanjung Calshot di
Southampton Water, England, atau anak-anak tanjung yang terdapat di sepanjang
pantai Kelantan. Ombak yang menyerong akan melengkungkan bentuk anak tanjung
itu menjadi anak tanjung taji atau anak tanjung berkeluk. Sekiranya permatang
batu lada itu merentangi kuala sungai atau bahagian hadapan teluk, maka
timbunan ini dinamakan beting pasir. Contohnya yang terkenal ialah Chesil
Beach di Dorset, England, yang menganjur sejauh 26 km lebih di sepanjang
pantai itu. Beting itu menghubungkan Isle of Portland dengan tanah besarnya
dan mengelilingi sebuah lagun yang bernama Fleet. Beting yang menghubungkan
dua kawasan daratan lebih dikenal sebagai tombolo.
Kukup dan Paya Masin
Kukup dan paya masin adalah hasil daripada pemendapan di kawasan lindung seperti di antara beting pasir dan daratan atau di muara sungai. Air pasang dan sungai membawa bahan-bahan enapan seperti lanar dan kelodak dan meinendapkannya di kawasan lindung tersebut apabila air surut. Pemendapan yang berterusan akan membentuk dataran lumpur yang dikenal sebagai kukup. Dalam jangka panjang, tumbuh-tumbuhan yang tahan air masin akan tumbuh subur di kawasan kukup ini dan membentuk paya masin. Contoh kukup dan paya masin dapat dilihat muara sungai Kelang dan di Teluk Morecambe, England. Di kawasan tropika, kukup akan menjadi paya bakau.
Bukit-bukit pasir laut dan kawasan bukit pasir.
Dengan
adanya tiupan angin ke daratan maka sebahagian besar dari pasir pantai
diterbangkan ke darat. Kejadian ini akan membentuk bukit bukit pasir laut
yang luas. Bukit-bukit ini akan membentuk kawasan-kawasan bukit pasir.
Kemaraannya ke pedalaman mungkin akan menyebabkan ladang-ladang, jalan
jalan raya, malahan seluruh kawasan perkampungan terkambus oleh bukit pasir
ini. Bukit-bukit pasir Landes, di barat daya Perancis, meliputi kawasan
yang seluas 15 600 km persegi dan puncaknya setinggi 40 meter. Puncak bukit-bukit
pasir ini biasa terdapat di kawasan pantai Belgium, Denmark dan Belanda.
Untuk menyekat kemaraan bukit-bukit pasir ini, rumput-rumput dan pokok-pokok
kecil jenis yang boleh mencengkam pasir seperti rumput marram dan pokok
pain telah ditanam di kawasan tersebut.