Pinggir pantai boleh dibahagi kepada dua jenis yang utama iaitu :
l. Pinggir pantai tenggelam - Ini terbentuk akibat penenggelaman kawasan daratan atau naiknya aras laut. Di antara pantai jenis ini termasuklah pinggir pantai ria, pantai fiord, pantai muara dan pantai dalmatia atau pinggir laut membujur.
2. Pinggir pantai timbul - Ini terbentuk akibat penimbulan bumi atau
penurunan aras laut. Pinggir pantai jenis ini tidak banyak terdapat dan
digambarkan oleh pinggir laut pamah timbul dan pinggir laut tanah tinggi
timbul.
l. Pinggir pantai ria - Ais banyak yang tersimpan pada
zaman ais dahulu. Sebahagian besar ais ini mencair apabila iklim berubah
menjadi lebih panas. Sebagai akibatnya, air laut semakin bertambah banyak
dan aras laut pun bertambah tinggi. Di setengah-setengah kawasan, aras
laut ini dianggarkan naik hampir 90 meter tingginya. Di pinggir-pinggir
laut tanah tinggi, gunung-ganangnya menganjur lalu membentuk sudut tepat
dengan laut, iaitu melintang atau menganjur ke pinggir laut
Jadi aras laut yang naik akan meneng,gelamkan kawasan-kawasan lurah
yang rendah lalu membentuk anak-anak teluk bercabang yang panjang serta
sempit yang diceraikan oleh tanjung-tanjung tinggi. Bentuk ini berbeza
dari bentuk fiord tentang dua segi yang penting. Bentuk ini tidak mengalami
hakisan glasier dan semakin dalam hala ke laut. Pinggir laut ria merupakan
sifat yang biasa bagi pinggir laut jenis Atlantik seperti yang terdapat
di barat laut Perancis, barat laut Sepanyol, barat daya Ireland, Devon
dan Cornwall. Pantai Ria biasanya membelakangkan kawasan-kawasan
pergunungan dan oleh kerana itu tidaklah banyak pelabuhan-pelabuhan perdagangan
yang terdapat di sini walaupun kawasan perairannya dalam dan boleh melindungi
kapal-kapal yang berlabuh. Sungguhpun begitu kawasan-kawasan ini telah
digunakan dengan luasnya untuk pelabuhan perikanan dan pangkalan angkatan
laut seperti di Plymouth dan Brest.
2. Pinggir pantai fiord - Pantai Fiord merupakan lekukan hakisan
glasier berbentuk U yang telah tenggelam. Fiord menandakan jalan yang diikuti
oleh glasier yang turun dari kawasan tanah tinggi. Tebing-tebingnya curam
dan biasanya naik terus dari laut. Fiord mempunyai cawangan-cawangan yang
bercantum dengan anak-anak teluk utamanya mengikut sudut tepat. Hakisan
ais yang terlalu kuat menyebabkan fiord ini dalam di sebelah pedalaman.
Bahagian arah ke lautnya cetek kerana di sini terdapat sebuah permatang
batuan yang dinamakan tubir. Di luar kawasan fiord banyak terdapat pulau
atau pulau kecil. Pulau-pulau kecil ini adakalanya 60 meter sahaja dalamnya
dan menyebabkan pelayaran di pinggir laut sukar jika terdapat pula tubir
cetek. Hampir semua pinggir laut fiord terletak di kawasan garis lintang
yang lebih tinggi di kawasan-kawasan hawa sederhana yang pernah mengalami
tindakan glasier. Contohnya terdapat di Norway, Alaska, British Columbia,
Chile Selatan dan Pulau Selatan New Zealand. Setengah-setengah fiord yang
besar sangatlah panjang dan dalam pula. Umpamanya, Fiord Sogne di Norway
panjangnya 177 km, 6 km lebar dan dalamnya hampir 1220 meter di bahagian
tengahnya. Walaupun kawasan perairannya dalam dan terlindung tetapi pelabuhan-pelabuhan
besar tidaklah banyak di sini. Latar belakangnya yang bergunung-ganang
dan dengan jalan ke pedalamannya yang sukar menyebabkan kawasan ini tidak
menarik hati untuk pembangunan dan petempatan. Usaha-usaha pertanian hanya
terhad kepada kawasan-kawasan kipas delta yang telah terbina di kawasan-kawasan
sungai yang turun mengalir ke fiord. Beberapa bandar yang ada di sini menjadi
pusat perikanan ataupun pusat pemasaran. Misalnya Trondheim hanya penting
di kawasan itu sahaja.
3. Pinggir pantai Dalmatia - Pinggir pantai ini mempunyai
sistem pergunungan yang selari dengan pantai. Nama ini berpunca dari pinggir
pantai Dalmatia di Yugoslavia yang terletak di sepanjang Laut Adriatic.
Di sini pinggir laut yang tenggelam menghasilkan anak teluk yang panjang
serta sempit, dengan rangkaian-rangkaian pulau yang selari dengan pinggir
laut. Pulau-pulau yang memanjang ini sebenarnya merupakan kemuncak banjaran-banjaran
gunung lama, dan selat-selat sempit itu pula merupakan lurah-lurahnya yang
memanjang. Jenis pinggir pantai Dalmatia ini juga merupakan sifat
yang biasa terdapat di pinggir laut Pasifik di mana banjaran-banjaran gunungnya
selari dengan pantai. Contohnya ialah pinggir laut barat Amerika Utara
dan Selatan tetapi pinggir laut di sini lebih lurus keadaannya. Seperti
dengan pinggir-pinggir pantai fiord dan ria keadaannya yang bergunung-ganang
menyebabkan perhubungan dengan kawasan pedalaman sukar dilakukan. Kawasan
ini mempunyai pelabuhan-pelabuhan yang dalam dan terlindung. Sungguhpun
demikian pelabuhan-pelabuhan yang baik tidak terdapat di sini. Walaupun
begitu terdapat juga beberapa buah pelabuhan penting di pinggir-pinggir
laut Pasif ik.
4. Pinggir pantai muara. - Di kawasan tanah pamah tenggelam,
kuala-kuala sungai telah tenggelam. Dengan itu terbentuklah muara-muara
yang berbentuk corong. Muara-muara ini boleh menjadi tapak bina pelabuhan
yang baik jikalau jalan masuknya tidak terhalang oleh beting pasir. Umpamanya
muara-muara Sungai Thames, Eibe dan Plate telah menjadi tapak bina pelabuhan-pelabuhan
yang besar seperti London, Hamburg dan Buenos Aires. Pelabuhan ini menjadi
lebih baik kalau ada pengaruh pasang surut. Bahkan kalaupun ada terdapat
pemendapan kelodak di sini jentera-jentera pengorek moden dapat membuka
pelabuhan-pelabuhan ini sepanjang masa.
1. Pinggir pantai tanah pamah terangkat - Rusuk benua yang
terangkat menjadi sebuah kawasan tanah pamah pinggir laut yang bercerun
landai. Air di luar pinggir lautnya cetek dan mengandungi lagun, paya masin
dan kukup. Pantai dan bukit pasir laut akan terjadi jikalau timbunan yang
timbul dari pelantar benua itu terdiri daripada pasir dan batu kelikir.
Pelabuhan-pelabuhan yang dahulunya terletak di pinggir laut sekarang ini
telah menjadi bandar di pedalaman. Antara contoh tanah pamah pinggir pantai
timbul termasuklah kawasan tenggara Amerika Syarikat, Finland Barat, Sweden
Timur dan sebahagian daripada pinggir laut Argentina yang terletak di sebelah
selatan Rio de La Plata.
2. Pinggir pantai tanah tinggi timbul.- Gelinciran dan gerakan
bumi mungkin menaikan dataran tinggi pinggir pantai dan menghasilkan bentuk-bentuk
penimbulan. Pinggir laut terangkat merupakan bentuk yang terkemuka kerana
kawasan ini tidak dapat lagi dipengaruhi oleh tindakan ombak, tetapi tetap
mempunyai sifat-sifat lamanya seperti gerbang laut, batu tunggul dan bentuk-bentuk
pinggir pantai yang lain. Pinggir Iaut tanah tinggi terangkat ini boleh
dikatakan lurus dan mempunyai tebing tinggi yang curam dan kawasan perairan
luar pantai yang dalam. Keadaan ini wujud kerana ombak-ombak masih belum
dapat menghakis kawasan-kawasannya yang lemah ataupun membina pelantar
hakisan ombak di situ. Kawasan ini tidak berguna untuk dijadikan
pelabuhan yang baik. Contoh-contoh pinggir laut tanah tinggi timbul terdapat
di Scotland, pinggir laut barat Deccan di India dan pinggir laut barat
Arab yang menghadap Laut Merah.