|
Sebahagian besar permukaan bumi terdiri daripada gunung-gunung dan ia boleh dibahagi kepada empat jenis yang utama iaitu :
1. Gunung lipat - Gunung ini terjadi kerana pergerakan bumi secara besar-besaran apabila terdapat tekanan-tekanan yang kuat dalam kerak bumi menyebabkan batu batan termampat dan kawasan yang lemah akan berkedut atau berlipat. Perlipatan ini akan mengecilkan lagi kerak bumi dan menyebabkan permukaan bumi menjadi beralun-alun.
2. Gunung bongkah - Gunung ini terjadi apabila kerak bumi merekah dan gelinciran berlaku. Gelinciran mungkin disebabkan ketegangan atau mampatan iaitu dua kuasa yang memanjangkan atau memendekkan kerak bumi. Kuasa ini menyebabkan satu bahagian kerak bumi menurun atau meninggi dari aras sekitarnya.
3. Gunung berapi - Gunung ini terbentuk daripada bahan yang keluar melalui rekahan-rekahan di kerak bumi. Bahan-bahan ini termasuklah lava yang cair, bara api, abu, debu dan lumpur cair.Bahan-bahan tersebut jatuh di sekeliling lohong gunung berapi itu dalam bentuk yang berlapis-lapis hingga membentuk kon gunung berapi.
4. Gunung sisa - Gunung jenis ini terjadi sebagai hasil daripada proses
gondolan. Apabila aras bumi pada umumnya menjadi rendah oleh agen-agen
gondolan, maka sesetengah kawasan yang kukuh akan terus kekal seperti biasa
dan menjadi gunung sisa. Gunung sisa juga mungkin terjadi daripada dataran
tinggi yang telah dikelar-kelar oleh sungai hingga menjadi bukit dan lembah.
DATARAN
TINGGI
Dataran tinggi adalah tanah tinggi yang terangkat
dan yang mempunyai permukaan rata yang luas dan biasanya menurun dengan
curam ke kawasan rendah di sekelilingnya. Berdasarkan asal pembentukkan
dan sifat-sifat fizikalnya, dataran tinggi boleh dibahagi kepada tiga jenis
yang utama iaitu :
1. Dataran tinggi tektonik - Dataran tinggi ini terbentuk akibat daripada pergerakan bumi yang menyebabkan berlakunya penimbulan. Biasanya dataran tinggi ini mempunyai saiz yang besar dan seragam tingginya. . Ini termasuklah bongkah-bongkah benua seperti Dataran Tinggi Deccan di India. Apabila dataran tinggi di kelilingi oleh gunung-gunung lipat, maka dataran tinggi itu dikenal sebagai dataran tinggi antara gunung.
2. Dataran tinggi gunung berapi - Dataran tinggi ini terbentuk akibat daripada lava cair melimpah keluar dari kerak bumi dan mengalir di permukaan bumi lalu membentuk beberapa lapisan yang dinamakan lava basol . Lava yang beku ini membentuk dataran lava .
3. Dataran tinggi berkelar-kelar - Dataran tinggi yang luas sedikit
demi sedikit akan terhakis akibat dari proses luluhawa dan hakisan yang
terus-menerus dilakukan oleh air yang mengalir, ais dan angin. Oleh yang
demikian, permukaan dataran itu menjadi tidak sama rata. Di kawasan dataran
tinggi yang beriklim lembab, sungai dan kadangkala glasier menyebabkan
lurah-lurah yang dalam dan sempit terjadi, dataran tinggi yang mengalami
kejadian seperti ini dinamakan dataran tinggi berkelar-kelar. Di negeri-negeri
yang beriklim kering, hakisan menegak yang dilakukan oleh sungai dan geselan
yang dilakukan oleh angin akan memecahkan dataran itu dan membentuk bongkah-bongkah
seperti meja yang bertebing curam yang disebut mesa dan butte. Kawasan
ini diselang-seli oleh kanyon yang dalam.
TANAH
PAMAH
Tanah Pamah atau dataran adalah merupakan kawasan
tanah rendah yang rata atau beralun tetapi jarang melebihi beberapa ratus
kilometer dari aras laut. Tanah pamah merupakan kawasan yang paling subur
di sesebuah negara dan selalunya digunakan sebagai kawasan petempatan,
pertanian dan perindusterian. Tanah pamah boleh dibahagi kepada tiga jenis
yang utama iaitu berdasarkan kepada asal kejadiannya :
1. Dataran bentuk bumi - Ia merupakan kawasan yang telah terlekuk dari segi bentuk muka buminya lalu menjadi kawasan dataran semula jadi yang paling luas di dunia. Dataran ini terbentuk daripada batu-batan yang mendatar dan boleh dikatakan tidak tersentuh oleh pergerakan kerak bumi.
2. Dataran mendap - Dataran jenis ini terbentuk daripada bahan-bahan
mendapan yang dibawa oleh berbagai-bagai anasir
pengangkutan. Dataran ini boleh dikatakan rata tetapi semakin meninggi
hala ke kawasan tanah tinggi. Kesuburan dan perkembangan ekonomi kawasan
ini banyak bergantung kepada jenis-jenis mendapan yang terkumpul. Beberapa
dataran mendap yang paling luas dibentuk oleh sungai-sungai yang besar.
Hakisan yang pesat di bahagian hulunya menyebabkan sungai-sungai
itu banyak membawa lanar ke bahagian hilirnya. Lanar itu dimendapkan sehingga
menjadi dataran lanar, dataran mendap dan dataran delta yang Iuas. Kawasan
ini merupakan kawasan yang paling subur di dunia dan digunakan untuk pertanian
secara giat. Penduduknya juga sangat padat.
Glasier dan litupan ais
juga dapat memendapkan lapisan pasir dan batu kelikir yang bercampur-aduk
lalu membentuk dataran lanar ais. Glasier juga dapat menimbunkan
lanar batu tongkol, iaitu campuran di antara batu-batu tongkol yang berbagai-bagai
rupa dengan lanar lalu membentuk satu dataran lanar batu tongkol. Dataran
lanar ais selalunya merupakan kawasan yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan
tetapi lanar batu tongkol pula mungkin merupakan satu kawasan pertanian
.
Di kawasan pula pantai,
ombak dan angin biasanya menyeret bahan-bahan pantai seperti lumpur,
pasir atau batu lada ke kawasan dataran pantai. Bahan-bahan ini dimendapkan
di dataran pantai dan terbentuklah paya masin,
kukup, tanah pamah pasang surut dan tanah pamah muara. Penimbulan bumi
mungkin meninggikan sedikit kedudukan pinggir pantai dan membentuk dataran
pantai timbul.
Angin mungkin membawa
butir-butir halus yang dinamakan loes. Bahan ini dibawa dari kawasan
gurun pedalaman atau kawasan tandus dan ditimbunkan di bukit-bukit, lembah-lembah
atau di dataran- dataran hingga membentuk dataran tinggi
loes, seperti di barat laut negara China dan tanah pamah loes,
seperti di kawasan Pampas di Argentina. Tanah loes ini meratakan kawasan
yang beralun dengan cara menimbunkan kawasan-kawasan
lurah dan lekukan. Kebanyakan kawasan yang diliputi oleh bahan loes
di dunia ini merupakan kawasan pertanian yang subur.
3. Dataran hakis - Dataran ini dibentuk oleh agen-agen hakisan. Hujan,
sungai, ais dan angin dapat meratakan permukaan bumi yang tidak rata. Dalam
jangka masa yang panjang iaitu berjuta juta tahun lamanya, gunung yang
tinggi sekali pun akan diruntuhkan hingga menjadi satu dataran rendah yang
beralun. Dataran gondolan ini dinamakan peneplain yang hampir
menyerupai dataran.
Sungai yang mengalir
dari hulu ke hilir akan memperdalam lembah dan melebarkan tebingnya.
Susuh-susuh bukit yang menganjur ke sungai akan terpenggal dan ini meluaskan
lagi kawasan rata di tebing sungai itu hingga menjadi rendah. Di samping
itu tanah tinggi yang terletak di antara sungai itu lama-kelamaan
akan menjadi rendah.
Bagi kawasan yang
telah mengalami tindakan glasier, dan litupan ais telah menggesel dan meratakan
muka bumi dan membentuk dataran hakis ais. Sekarang lekukan-lekukan yang
dibentuk oleh glasier itu telah menjadi tasik-tasik.
Di kawasan kontang dan hampir kontang, sebahagian besar daripada bahan
yang telah terhakis diterbangkan oleh layangan angin. Oleh kerana itu aras
kawasan itu menjadi rendah lalu membentuk dataran luas, umpamanya
dataran kontang berbatu kelikir atau berbatu-batu yang disebut reg
di Afrika Luluhawa mekanikal di kawasan kontang dan hampir kontang telah
meluruhkan cerun-cerun yang tinggi hingga menjadi pediplain